
AMAT pantas sekali Ramadan beredar. Dalam sedar , separa sedar ataupun langsung tidak sedar, untuk makluman, kini kita hampir pun memasuki fasa ketiga dan terakhir, yakni pembebasan dari api neraka. Ucapan tahniah dari diri ini buat mereka yang bersungguh-sungguh memenuhi hari-hari yang berlalu itu dengan ibadah semata-mata kerana ALLAH s.w.t. bagi mencari rahmat dan pengampunan ALLAH s.w.t. Jika tidak, marilah bersama-sama kita memaksimumkan usaha kita mencari ganjaran ALLAH s.w.t dalam 10 Ramadhan yang terakhir ini, kerana entah ya atau tidak, dapat lagikah kita bersama dengan Ramadhan akan datang?
Sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah SAW lebih meningkatkan amal ibadat baginda dengan qiamullail, beriktikaf, bersedekah, tilawah Al-Quran dan juga mengejutkan ahli keluarga baginda untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat bersama baginda.Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya;
“Sesungguhnya nabi saw bersungguh-sungguh beramal dalam bulan Ramadhan tidak seperti bulan-bulan lainnya, manakala dalam Sohih Muslim Aisyah RA menyatakan : “Sesungguhya nabi saw bersungguh-sungguh beribadat dalam sepuluh akhir Ramadhan dan tidaklah seperti mana yang (dibulan-bulan ) selainnya “
Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW begitu bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadat walau pun baginda seorang yang maksum yakni tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh teladan kepada kita sebagai umatnya dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan. Panduan yang diberikan oleh baginda ini menunjukkan betapa bernilainya saat-saat sepuluh hari terakhir Ramadhan. Amat malanglah jika sekiranya kita semakin lemah dan semakin cuai dalam melakukan ibadat meski pun Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita.
“Daripada A’ishah katanya : bahawa Rasulullah SAW apabila sampai sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan , baginga banyak melakukan ibadat kemudian baginda membangunkan ahli kelurganya dan baginda juga menjauhkan diri dari melayan dan bergaul dengan isterinya .”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para sahabat nabi risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel yang berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu dan pahala beribadat pada malam itu lebih baik dari 1000 bulan iaitu sekitar 84 tahun.
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada 1000 bulan.
4. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril)dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan
5. Sejahteralah malam itu sampai terbit fajar
Malam itu tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu:
Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi, Ibnu Khuzaimah, al-Bazzar dan sanadnya hasan)
“Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis Riwayat Muslim)
Daripada A’ishah berkata : Rasulullah bersabda: “ carilah Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan “
(Hadis Riwayat Bukhari)
A’ishah berkata : Rasulullah beri’tikaf di masjid dalam sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan, baginda bersabda : “ carilah Lailatul Qadar dalam sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan“
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada abi hurairah ra daripada nabi saw : “barang sesiapa yang bangun di malam Lailatul Qadar dalam keadaan beriman dan bermuhasabah,maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Daripada Aisyah ra berkata,aku bertanya rasulullah saw,jika aku mengetahui malam yang aku bangun itu adalah malam Lailatul Qadar,maka apakah yang perlu aku pinta? Rasulullah saw berkata : katalah : Ya Allah ya Tuhanku Engkaulah yang suka mengampuni setiap dosa yang ada,maka ampunkanlah dosa aku.

0 comments:
Post a Comment